Bicara Allah..

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. ~ Faathir; 28

Pesan Rasulullah..

“Para ulama adalah pewaris para nabi.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi dari Abu Darda’) Para ulama adalah pewaris para nabi. Bila risalah Islam ini disampaikan kepada umat manusia oleh Rasulullah Muhammad saw hingga menjadi rahmat bagi sekalian alam, maka demikianlah inti dari tugas para ulama.

KHUTBAH ATAU SOLAT JUMAAT SEBELUM WAKTU ZOHOR ?




Bagi menjawab persoalan sama ada khutbah Jumaat boleh dilaksanakan sebelum masuk waktu Zohor dengan lebih perincian, sebenarnya bukan hanya khutbah, malah termasuk juga solat jumaat iutu sendiri adakalanya didirikan sebelum masuk waktu zohor.

Para ulama terbahagi kepada 3 pendapat dalam hal ini :-

1- Hanya boleh selepas masuk waktu Zohor :

Solat dan khutbah Jumaat MESTILAH dilaksanakan SELEPAS MASUK WAKTU ZOHOR. Ia adalah pendapat majoriti mazhab dan ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan disokong oleh Ibn Hazm yang bermazhab Zohiri.

2- Boleh setelah masuk Dhuha :

Iaitu selepas salah galah naik matahari : Ia adalah salah satu pendapat atau ijtihad yang popular Imam Ahmad, ini dikatakan pandangan mazhab yang sebenarnya menurut kalangan pengikut mazhab Hanbali.

3- Boleh dilaksanakan sejam sebelum Zohor :

Waktu boleh solat dan khutbah Jumaat bermula pada jam 12 tengahari jika Zohor masuk jam 1 petang : Iaitu waktu yang dinamakan "al-waktu al-sadisah" iaitu satu jam sebelum masuk waktu Zohor. : Ini juga adalah salah satu ijtihad Imam Ahmad dan dipegang oleh minoriti pengikutnya.



Kesemua tiga-tiga pendapat mempunyai dalil hadis dan athar, namun setiap satu dalil tidak sunyi dari bantahan kumpulan yang lain. Saya tidak akan menyatakan dengan perinci dalil kesemua mereka, cukup untuk saya menyatakan satu atau dua dalil terpilih sahaja. Dan saya tinggalkan pandangan ketiga disebabkan amat kurang kukuhnya dalil mereka pada penilaian majority ulama.

RINGKASAN DALIL KUMPULAN PERTAMA DAN KEDUA

Dalil yang dipegang oleh kumpulan pertama :

· Hadis : Dari Anas r.a


أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يصلي الجمعة حين - تميل الشمس

Ertinya : Berkata Anas Bin Malik : Sesungguhnya Nabi s.a.w melaksanakan solat Jumaat di ketika matahari condong ( selepas masuk waktu zohor) ( Riwayat Al-Bukhari)


· Hadis : Dari Sayyidatuna Aisyah r.a mengatakan :

كان الناس مهنة أنفسهم وكانوا إذا راحوا إلى الجمعة راحوا في هيئتهم، فقيل لهم: لو اغتسلتم

Ertinya : Orang ramai semua sedang sibuk bertugas (mencari nafqah), dan apabila mereka pergi untuk menunaikan Jumaat, mereka pergi dalam keadaan itu (dengan peluh dan pakaian kerja), maka di katakan kepada mereka : Sekiranya mereka pulang dan mandi terlebih dahulu ( ia lebih baik) ( Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini memberikan indikasi bahawa solat Jumaat dilaksanakan dalam waktu zohor, sesudah tugasan dan kerja dilaksanakan pada waktu pagi. (Fath al-Bari, 2/387 )

· Terdapat banyak lagi dalil yang digunakan termasuk amalan khalifah Abu Bakar, Umar dan Ali r.a yang turut menunaikan solat dan khutbah Jumaat dalam waktu zohor. ( Rujuk lanjut dalan huraian Imam Ibn Hajar di Fath al-Bari); selain itu, bukankah zolat Jumaat sebagai ganti solat zohor maka sudah tentu waktunya turut seperti waktu zohor. ( Minhaj at-Tolibin, 1/116 )

Dalil pegangan kumpulan kedua :

· Hadis : dari Jabir r.a :-

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يصلي الجمعة، ثم نذهب إلى جمالنا فنريحها حين تزول الشمس

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menunaikan Jumaat, kemudian kami pergi ke unta kami dan memberinya makan DI KETIKA gelincirnya matahari. ( Riwayat Muslim )

Hadis ini memberi indikasi solat atau khutbah jumaat disiapkan sebelum gelncir matahari ( iaitu waktu zohor), kerana Jabir r.a memberitahu mereka hanya pergi memberi makan unta mereka selepas itu, iaitu pada waktu matahari tergelincir. ( Naylul Awtar, 3/261)

· Athar : Berkata Abdullah bin Saidan

شهدت الجمعة مع أبي بكر فكانت صلاته وخطبته قبل نصف النهار، ثم شهدتها مع عمر فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: انتصف النهار، ثم شهدتها مع عثمان فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: زال النهار، فما رأيت أحدًا عاب ذلك، ولا أنكره

Ertinya : Aku bersama Jumaat dengan Abu Bakar, solat dan khutbahnya sebelum pertengahan siang ( zohor), kemudian aku juga bersama Umat, demikian solat dan khutbahnya sehingga aku berkata : telah masuk separuh siang, kemudian aku bersama Uthman r.a , demikian juga solat dan khutbahnya sehingga aku berkata; telah tergelincir matahari, dan tidak aku lihat ada seorang pun ( dari kalanagan sahabat) yang menegurnya, tiada juga yang mengingkarinya ( Riwayat Ibn Abi Syaibah, & Abd Razzaq ) [1]

KESIMPULAN

Sebagai saya sebutkan di awal tadi, kebanyakkan dalil-dalil ada yang bersifat jelas dan sebahagian lain bersifat tafsiran. Lalu sikap yang perlu kita ambil dalam konteks ini adalah :-

a. Usahakanlah untuk menunaikan solat dan khutbah Jumaat di dalam waktu zohor mengambil pandangan majoriti mazhab dan dianggap punyai dalil yang terkuat.

b. Perlu difahami bahawa solat dan khutbah Jumaat sebelum waktu zohor sememangnya mempunyai dalil dan ulama yang menyokong. Justeru itu, tidak timbul solat atau khutbah mereka tidak sah atau salah, selagimana mereka yang melakukannya : -
Yakin dengan pandangan tersebut setelah meneliti dalilnya

Tetap dilakukan solat Jumaat itu atas sebab ‘hajat' (kesukaran) seperti yang berlaku di Geneva, iaitu kesukaran mendapat flexibility waktu rehat akibat bertugas di syarikat yang bukan milik Islam atau bagi memudahkan umat Islam di kawasan persekitaran untuk menunaikan kewajiban Jumaat mereka dengan baik dan mudah. Ini berdasarkan ‘Fiqh Taysir'.

Mengikuti panduan seseorang yang alim atau berwibawa dalam bidang Fiqh, tatkal aitu yang mengikuti sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘individu yang tidak mengetahui ‘ sebagaimana diarah oleh Allah swt, iaitu "Tanyalah orang yang tahu, sekiranya kamu tidak mengetahui"

c. Bagi mana-mana kumpulan warga Malaysia yang amat TIDAK SELESA serta TIDAK YAKIN untuk mengikuti masjid yang mengikuti pendapat mazhab Hanbali itu, serta ingin TETAP dengan berpegang ijtihad mazhab Syafie khususnya atau jumhur, mereka boleh melaksanakan solat dan khutbah Jumaat di secara sendiri di mana-mana tempat yang sesuai jika bilangan ahli jemaah mencukup 40 orang. Jika tidak mereka boleh menunaikan solat zohor sahaja, namun ini bukan pandangan terpilih, khususnya di waktu wujudnya keperluan untuk mengambil fatwa yang lebih ringan di ketika wujud keperluan dan kesukaran.

CAMPUR MAZHAB BOLEH KE ?

Bagi orang awam, yang masih keliru, mereka sebenarnya boleh mengikuti ijtihad mana-mana alim ulama tempatan termasuk para imam di masjid tempat mereka tanpa banyak soal. Tiada timbul isu bahawa mereka akan bermasalah kerana meninggalkan mazhab Syafie yang dipeganginya. Ini adalah kerana bagi kawasan-kawasan yang berlaku seperti Geneva, yang tiada masjid pilihan lain, keperluan berpindah mengikuti pendapat mazhab lain adalah harus disebabkan kesukaran dan keperluan.

Malah sebenarnya, ramai orang awam bukanlah boleh dikira bermazhab Syafie yang mulzim (komit) dalam erti kata yang sebenarnya. Kebanyakkan orang awam sebenarnya hanya ‘merasa' atau ‘menyangka' mereka menuruti mazhab Syafie tetapi keilmuan dan amalan ibadah dan muamalah mereka setiap hari bercampuk aduk antara mazhab, hatta adakalanya amalan mereka terkeluar dari semua pandangan mazhab tanpa disedari.

Inilah hakikatnya, bagi orang awam dan Negara Malaysia, mazhab Syafie hanya dianggap sebagai mazhab rujukan utama atau dijadikan sebagai priority dalam memahami nas al-Quran dan Hadis, itu sahaja. Malah banyak pendapat mazhab lain telah diambil juga oleh fatwa Malaysia. Ia juga tiada sebarang kaitan dengan wahabi atau salafi.
Adalah zalim lagi jahil untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi (khususnya setelah digambarkan Wahhabi itu terkeluar dari ahli sunnah), kerana kebanyakkan pendapat yang diuatarakan bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Justeru, untuk mengatakan ditegah atau haram seseorang awam keluar dari ijtihad mazhab Syafie kepada yang lain khususnya di luar Negara yang mana amat berbilang mazhab pegangan umat Islamnya, ia hanya akan menyebabkan hampir semua orang Islam hatta para ustaznya jatuh berdosa kerana tentu ada amalan peribadinya yang tidak dari mazhab Syafie lantaran ilmu yang amat terbatas berkaitan pandangan mazhab Syafie yang sebenar.

Inilah sedikit kelebihan mereka yang bekerja atau menuntut di luar Negara, mereka berpeluang membuka minda dan idea kepada kepelbagaian sikap, ilmu dan mazhab, mampu menjadikan individu itu lebih cepat matang dan bertoleransi dalam menanggapi sesuatu perbezaan pandangan Fiqh.

Namun tidak dinafikan ramai juga yang menuntut di luar Negara, namun otak dan mindanya beku dari persekitaran yang boleh menjadi guru hidup mereka, akhirnya menjadi ekstremis sama ada dalam pegangan mazhab Syafie, atau mazhab dan aliran lainnya.

Bertoleransi dan bersangka baiklah wahai diri, sahabat dan rakan. Nescaya dengki, hasad dan buang masa akan semakin menipis, inshaAllah. Jangan lupa menunaikan solat Jumaat walau berada di Geneva, Perancis, Ireland, United Kingdom dan lainnya walau tidak cukup sempurna dari sudut pandangan mazhab Syafie.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

--------------------------------------------------------------------------------

[1] Abdullah bin Syaiban dianggap perawi yang majhul dan tertolak oleh ramai ahli hadis, imam Al-Bukhari tidak menrima hadisnya (Mizan al-Iktidal, 2/437) ; hadis ini juga dhaif menurut Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' dan juga Albani dalam Irwa al-Ghalil.

0 comments:

Post a Comment



 

Radio

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent